Tuesday 31 January 2012

Sebatang Lolipop Berwarna-warni dan Sekeping Surat

Assalamualaikum

Suasana dalam bilik bacaan itu suram, ditambah dengan wajah wajah muram si ibu dan si anak yang tenang mendengar bicara peguam tentang wasiat si ayah yang baru sahaja meninggal dunia akibat penyakit kanser. Peguam itu mengeluarkan sampul besar bersaiz A4 daripada beg hitamnya yang berisi sebatang lolipop berwarna warni dan sekeping surat dilipat kemas. Kata peguam, peninggalan si ayah untuk si ibu cuma lah sebatang lolipop berwarna warni, manakala si anak tidak akan mewarisi apa apa pun melainkan sekeping surat yang ditulis sendiri oleh si ayah. Si anak tadi bingkas bangun daripada tempat duduknya, tidak berpuas hati dengan kata kata peguam itu, lalu merampas surat peninggalan si ayah tersebut. 
"Wahai anak ku,

Sebenarnya 10 tahun lepas aku pernah memberikan ibu kau satu lolipop beracun ketika sedang makan dalam sebuah restoran untuk menamatkan riwayatnya agar aku boleh berbahagia dengan calon pilihan aku sendiri. Cuma aku tak sangka ibu kau begitu bermurah hati mendermakan lolipop itu pada seorang kanak kanak berbaju lusuh yang bertandang dari meja ke meja menjual tisu. Lalu aku rampas kembali lolipop itu daripada tangan kanak kanak itu sebelum semua orang dalam restoran memandang aku dengan tajam. Seorang lelaki hampir hampir bangun dan menghempuk kepala aku dengan sebuah kerusi besi tapi sempat dihalang teman wanitanya yang awal awal lagi telah pun membaling tulang ayam kepada aku sebagai tanda protes. Demi menyelamatkan nyawa aku, kanak kanak itu aku peluk lalu aku umumkan pada khalayak yang mulai hari tu kanak kanak itu akan aku bela nasibnya. 

Dan begitulah ceritanya bagaimana aku terpaksa menjadikan kau anak angkat ku dan menyebabkan kau tidak layak untuk menerima walau satu sen pun harta hartaku. Sekian ayah akhiri surat ini dengan sedikit ketawa ringkas, kah kah kah!

 fakyu, 
ayah angkatmu"


Sumber : Nikotin Untuk Zombie


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...